atas angin- negara-negara Barat: Kita mesti mempunyai sikap daya saing dengan negara atas angin.
bintang terang- bernasib baik: Faisal bintang terang hari itu kerana dia memenangi hadiah tempat pertama dalam peraduan menulis cerpen.
cupak hanyut- lenggang dan langkah yang lemah lembut: Para pelancong asing tertarik dengan gerak geri para penari tarian lilin yang bagai cupak hanyut itu.
daki dunia- harta yang diperoleh semasa hidup tidak dapat dibawa mati: Bagi Tuan Syed Ali, tiada ertinya hidup kalau matlamatnya hanya untuk mengumpulkan daki dunia sebanyak-banyaknya.
gulung tikar- menutup perniagaan: Syarikat itu gulung tikar sebagai akibat kemelesetan ekonomi.
hangat hati- sangat marah: Jais hangat hati atas tindakan pemandu van yang nyaris-nyaris melanggarnya tadi.
ibu keladi- orang tua yang masih berkelakuan seperti orang muda: Walaupun sudah lanjut usianya, Pak Muluk masih bergaya seperti orang muda. Sikap ibu keladinya itu tidak disukai anak cucunya.
jinak-jinak merpati- perempuan yang kelihatannya ramah dan mudah digoda, tetapi akan menjauhkan diri apabila didekati: Artis baru itu jinak-jinak merpati orangnya. Dia bijak melayan karenah peminat tetapi sukar didekati oleh mereka.
kepala angin- orang yang kelakuannya sering berubah-rubah: Saya tidak tahan melihat perangainya yang kepala angin.
langkah seribu- melarikan diri secepat-cepatnya kerana takut: Budak yang menghendap di dusun itu membuka langkah seribu apabila disergah oleh ayah saya.
mata petai- mata yang tidak dapat melihat dengan betul atau jelas. "Tulisan sebesar sebegini pun tak dapat kamu baca? Betullah mata kamu ini mata petai, Udin," kata Lajim.
nyiur gading- anak gadis yang comel-comel (kesayangan ibu bapa): Pasangan kembar, Shazwani dan Shazwana merupakan nyiur gading Encik Abdullah dan Puan Norma.
otak minyak- pandai: Memang Gunalan otak minyak. Dia mendapat gred A dalam semua mata pelajaran dalam setiap ujian yang diadakan.
patah kandar- hilang tempat bergantung: Mak Limah yang selama ini banyak bergantung kepada suaminya, kini patah kandar setelah suaminya itu lumpuh.
retak seribu- banyak retaknya: Pinggan antik daripada tembikar itu tidak pecah, hanya retak seribu apabila terjatuh ke lantai.
separuh mati- terlalu penat; bekerja dengan bersungguh-sungguh: Sungguhpun dia separuh mati melakukan kerja-kerja itu, tetapi akhirnya rakannya pula yang mendapat pujian.
telinga lintah- orang yang lekas mendengar: Dia itu telinga lintah. Semua percakapan orang didengarnya.
untung batu- nasib yang tidak baik: "Untung batu betul Kasim hari ini. Motosikalnya bukan saja pancit, malah kehabisan minyak pula," kata Siva kepada rakannya.
wang muka- wang yang dibayar dahulu sebagai tanda persetujuan untuk membeli sesuatu barangan: Lim hanya perlu menjelaskan wang muka sebanyak RM200 untuk menempah set perabot itu.
ibu keladi |
nyiur gading |
No comments:
Post a Comment