Keistimewaan Gunung Santubong
Gunung Santubong merupakan sebuah gunung lagenda terkenal yang terdapat di negeri Sarawak. Tersergam indah yang terletak 35km di utara Bandar Kuching, gunung ini menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Gunung Santubong mempunyai ketinggian sekitar 810 meter yang terletak di semenanjung Buntal yang terkenal dengan aktiviti-aktiviti pelancongannya.
Gunung Santubong dikatakan mempunyai lagenda yang agak unik. Namanya diambil sempena nama salah seorang puteri yang dipercayai penjaga gunung tersebut. Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang adalah dua orang puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang putera apabila ayahanda tercinta yakni Sultan Brunei telah dibunuh dalam satu komplot yang berlaku sekitar abad ke-18. Saudara-saudara lelaki dua orang puteri ini terpaksa meninggalkan mereka berdua ekoran ingin menuju ke Tanah Melayu yang memerlukan mereka menyeberangi Laut China Selatan. Justeru, saudara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ini bertekad untuk meninggalkan kedua-duanya di suatu kawasan yang berhampiran dengan Kuching iaitu di Bukit Santubong.
Penduduk yang berhampiran dengan kawasan tersebut berasa hairan dengan kehadiran dua orang puteri ini lantas menganggapnya turun dari kayangan dan ditugaskan untuk menjaga Gunung Santubong. Walau bagaimanapun, berlaku permusuhan antara kedua-dua puteri kerana masing-masing mempertahankan kecantikan mereka dan mengaku mereka paling cantik di dunia. Akibat daripada pergaduhan yang berlaku, Puteri Sejenjang telah berpindah ke bukit lain yang dinamakan sebagai Bukit Sejenjang. Namun, pergaduhan sampai di kemuncak apabila kedua-duanya saling berbunuhan antara satu sama lain. Maka, lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang seperti yang ada pada hari ini.
Menurut sejarahnya, pada awal abad yang ke-14M, Santubong menjadi pusat komersial pentadbiran negeri Sarawak. Kuala Santubong menjadi pusat kunjungan para saudagar dari Timur dan Barat untuk berniaga. Penemuan pelbagai artifak membuktikan kawasan ini merupakan tumpuan utama sekali gus membawa kepada penyebaran agama Islam dan Hindu di Sarawak.
1. Andaikan anda pernah mengunjungi Sarawak, kirimkan cerita anda kepada rakan anda yang jauh dengan menceritakan pengalaman dan keunikan Sarawak berdasarkan petikan di atas. Panjang surat anda tidaklak melebihi 180 patah perkataan.
2. Berdasarkan petikan di atas, senaraikan lima kata nama, lima kata kerja dan lima kata adjektif. Berpandukan perkataan yang disenaraikan, bina ayat dalam ruangan yang disediakan.
No comments:
Post a Comment