Saturday, 17 December 2011

CONTOH KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

                                                               
                                                         329, Jalan Pujut 3,
                                                         Taman Mutiara,               
                                                         98000 Miri,
                                                         Sarawak.
                                                                       26 Jun 2011.


Menemui murid-murid 1Amanah yang berada di Kuala Kangsar, Perak semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Saya di sini sihat-sihat sahaja.

Saudara dan saudari,
                Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara dan saudari mengutus surat kepada saya. Saya sangat rindu kepada anda semua. Saya berasa sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa dalam kalangan anda yang berhasrat berkunjung ke negeri saya pada bulan November yang akan datang. Kedatangan anda telah saya maklumkan kepada ahli keluarga saya. Mereka dengan tangan terbuka sedia menerima kunjungan saudara dan saudari.

                Kali ini, saya akan memperkenalkan tempat-tempat menarik di negeri saya yang dapat saudara dan saudari lawati. Sarawak ialah negeri yang sangat besar dan dibahagikan mengikut daerah. Saya hanya memperkenalkan tempat menarik di daerah saya, Miri sahaja. Antara tempatnya, Grand Old Lady dan Muzium Sains Petroleum. “The Grand Old Lady” ialah gelaran bagi Telaga Minyak Miri yang terawal di Miri. Telaga minyak ini terletak di atas Bukit Telaga Minyak, atau dahulunya bergelar sebagai Canada Hill. Bukit ini boleh memandang pemandangan bandaraya Miri dengan lautnya yang cantik. Muzium Sains Petroleum juga didirikan di sana bagi mempamerkan pelbagai jenis pameran yang berkaitan dengan industri minyak.

                Seterusnya, Taman Negara Gua Niah ialah tempat menarik yang mesti dilawat oleh saudara dan saudari. Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di negara kita dan penuh dengan sejarah. Gua ini juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Gua Niah telah dijumpai fossil manusia yang berusia 40,000 ribu tahun dahulu dan seterusnya menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Gua ini sangat menarik minat pelancong dari tempatan mahupun asing. Oleh itu, saudara dan saudari jangan melepaskan peluang untuk mengunjungi Gua Niah.

                Selain itu, saudara dan saudari juga boleh mengunjungi Taman Negara Bukit Lambir. Taman Negara ini merupakan salah satu hutan yang kaya dengan pelbagai spesies di dunia. Hutan ini mejadikan habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti ungka, tarsiers, babi hutan, tupai terbang, rusa, kelawar, tikus, dan 157 jenis burung. Terdapat beberapa air terjun di sepanjang Sungai Liam. Antaranya ialah air terjun Pertama, Kedua dan Ketiga atau Latak. Air terjun 25 meter tingginya antara Latak dengan kolam dan airnya sangat dalam. Hutan di Taman Negara ini juga sesuai dijadikan tempat merentas desa.

                Saya cuma memperkenalkan beberapa tempat yang menarik sebagai panduan kepada saudara dan saudari yang ingin melawat ke daerah saya. Bagi murid yang lain, saya mengetahui bahawa ada dalam kalangan anda yang telah melawat negeri Sarawak. Bolehkah berkongsi tempat menarik yang telah anda kunjungi kepada saya? Murid-murid yang tidak pernah dan belum merancang pergi ke negeri Sarawak, kamu boleh memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di kampung anda. Jikalau ada peluang, saya dan keluarga saya berhasrat untuk melawat ke kampung anda.

                Saya rasa setakat ini sahaja tulisan saya pada kali ini. Saya berharap saudara dan saudari akan melawat negeri saya. Sekian, terima kasih. 


                                                                          Yang Benar
                                                                           Cikgu Sidi

2 comments:

  1. Terima kasíh atas contoh surat kiriman tidak rasmi íni.. Saya berharap saudara dapat terus menulis contoh surat kiriman tidak rasmi ini.. Teruskan usaha demi orang melayu.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete