Saturday, 17 December 2011

UJI MINDA





ARAHAN
Sila jawab 20 soalan dalam pautan di bawah. Pilih jawapan yang BETUL. 
Klik "uji minda"



Semoga Berjaya

KATA PENEGAS

1) Kata Penegeas atau partikel bertugas menekankan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.
2) Menurut fungsinya sebagai penegas, kata tugas ini boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu kata penegas frasa predikat sahaja atau bahagian-bahagian dalam predikat dan kata penegas frasa subjek atau frasa apredikat.
Rajah di bawah merumuskan jenis kata penegas dan penggunaannya.

Jenis Kata Penegas
Kata Penegas
Contoh Penggunaan
Frasa predikat atau bahagian dalam predikat
-kah, -tah, - lah
Siapakah yang memakai baju merah itu?
Yang itulah murid baru sekolah ini.
Apatah usaha kita menghidupkan semula pekan teater ini.
Frasa subjek atau frasa predikat
juga, pun, hanya, lagi, memang, sahaja
Pegawai juga mesti hadir (subjek)
Pegawai mesti hadir juga (predikat)
Adiknya pun jurutera. (subjek)
Adiknya jurutera juga (predikat)

KATA PENGUAT

1) Kata penguat bertugas menguatkan maksud kata adjektif.
2) Kata penguat boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
3) Berdasarkan pada kedudukan ini, kata penguat terbahagi kepada tiga jenid iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas.

Kaji contoh-contoh di bawah dengan teliti:
Jenis kata penguat
kata penguat
contoh penggunaan
Hadapan
paling, terlalu, agak
-Awak yang paling pintar dalam kelas ini.
-Teknik yang awak gunakan untuk menyelesaikan rumus Matematik itu terlalu rumit.

Belakang
sekali, benar, nian
-Permata yang termahal sekali diletakkan di ruangan khas itu.
-Tanpa kebenaran ketua, awak telah bercuti lama benar.

Bebas
amat, sangat, sungguh
-Hujan lebat amat
-Hujan amat lebat
-Badang kuat sangat
-Badang sangat kuat
-Ibu letih sangat semalam.
-Semalam ibu letih sangat.

CONTOH KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

                                                               
                                                         329, Jalan Pujut 3,
                                                         Taman Mutiara,               
                                                         98000 Miri,
                                                         Sarawak.
                                                                       26 Jun 2011.


Menemui murid-murid 1Amanah yang berada di Kuala Kangsar, Perak semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Saya di sini sihat-sihat sahaja.

Saudara dan saudari,
                Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara dan saudari mengutus surat kepada saya. Saya sangat rindu kepada anda semua. Saya berasa sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa dalam kalangan anda yang berhasrat berkunjung ke negeri saya pada bulan November yang akan datang. Kedatangan anda telah saya maklumkan kepada ahli keluarga saya. Mereka dengan tangan terbuka sedia menerima kunjungan saudara dan saudari.

                Kali ini, saya akan memperkenalkan tempat-tempat menarik di negeri saya yang dapat saudara dan saudari lawati. Sarawak ialah negeri yang sangat besar dan dibahagikan mengikut daerah. Saya hanya memperkenalkan tempat menarik di daerah saya, Miri sahaja. Antara tempatnya, Grand Old Lady dan Muzium Sains Petroleum. “The Grand Old Lady” ialah gelaran bagi Telaga Minyak Miri yang terawal di Miri. Telaga minyak ini terletak di atas Bukit Telaga Minyak, atau dahulunya bergelar sebagai Canada Hill. Bukit ini boleh memandang pemandangan bandaraya Miri dengan lautnya yang cantik. Muzium Sains Petroleum juga didirikan di sana bagi mempamerkan pelbagai jenis pameran yang berkaitan dengan industri minyak.

                Seterusnya, Taman Negara Gua Niah ialah tempat menarik yang mesti dilawat oleh saudara dan saudari. Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di negara kita dan penuh dengan sejarah. Gua ini juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Gua Niah telah dijumpai fossil manusia yang berusia 40,000 ribu tahun dahulu dan seterusnya menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Gua ini sangat menarik minat pelancong dari tempatan mahupun asing. Oleh itu, saudara dan saudari jangan melepaskan peluang untuk mengunjungi Gua Niah.

                Selain itu, saudara dan saudari juga boleh mengunjungi Taman Negara Bukit Lambir. Taman Negara ini merupakan salah satu hutan yang kaya dengan pelbagai spesies di dunia. Hutan ini mejadikan habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti ungka, tarsiers, babi hutan, tupai terbang, rusa, kelawar, tikus, dan 157 jenis burung. Terdapat beberapa air terjun di sepanjang Sungai Liam. Antaranya ialah air terjun Pertama, Kedua dan Ketiga atau Latak. Air terjun 25 meter tingginya antara Latak dengan kolam dan airnya sangat dalam. Hutan di Taman Negara ini juga sesuai dijadikan tempat merentas desa.

                Saya cuma memperkenalkan beberapa tempat yang menarik sebagai panduan kepada saudara dan saudari yang ingin melawat ke daerah saya. Bagi murid yang lain, saya mengetahui bahawa ada dalam kalangan anda yang telah melawat negeri Sarawak. Bolehkah berkongsi tempat menarik yang telah anda kunjungi kepada saya? Murid-murid yang tidak pernah dan belum merancang pergi ke negeri Sarawak, kamu boleh memperkenalkan tempat-tempat menarik yang terdapat di kampung anda. Jikalau ada peluang, saya dan keluarga saya berhasrat untuk melawat ke kampung anda.

                Saya rasa setakat ini sahaja tulisan saya pada kali ini. Saya berharap saudara dan saudari akan melawat negeri saya. Sekian, terima kasih. 


                                                                          Yang Benar
                                                                           Cikgu Sidi

Thursday, 15 December 2011

LATIHAN KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI



 Keistimewaan Gunung Santubong

Gunung Santubong merupakan sebuah gunung lagenda terkenal yang terdapat di negeri Sarawak. Tersergam indah yang terletak 35km di utara Bandar Kuching, gunung ini menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Gunung Santubong mempunyai ketinggian sekitar 810 meter yang terletak di semenanjung Buntal yang terkenal dengan aktiviti-aktiviti pelancongannya.

Gunung Santubong dikatakan mempunyai lagenda yang agak unik. Namanya diambil sempena nama salah seorang puteri yang dipercayai penjaga gunung tersebut. Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang adalah dua orang puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang putera apabila ayahanda tercinta yakni Sultan Brunei telah dibunuh dalam satu komplot yang berlaku sekitar abad ke-18. Saudara-saudara lelaki dua orang puteri ini terpaksa meninggalkan mereka berdua ekoran ingin menuju ke Tanah Melayu yang memerlukan mereka menyeberangi Laut China Selatan. Justeru, saudara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ini bertekad untuk meninggalkan kedua-duanya di suatu kawasan yang berhampiran dengan Kuching iaitu di Bukit Santubong.

Penduduk yang berhampiran dengan kawasan tersebut berasa hairan dengan kehadiran dua orang puteri ini lantas menganggapnya turun dari kayangan dan ditugaskan untuk menjaga Gunung Santubong. Walau bagaimanapun, berlaku permusuhan antara kedua-dua puteri kerana masing-masing mempertahankan kecantikan mereka dan mengaku mereka paling cantik di dunia. Akibat daripada pergaduhan yang berlaku, Puteri Sejenjang telah berpindah ke bukit lain yang dinamakan sebagai Bukit Sejenjang. Namun, pergaduhan sampai di kemuncak apabila kedua-duanya saling berbunuhan antara satu sama lain. Maka, lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang seperti yang ada pada hari ini.

Menurut sejarahnya, pada awal abad yang ke-14M, Santubong menjadi pusat komersial pentadbiran negeri Sarawak. Kuala Santubong menjadi pusat kunjungan para saudagar dari Timur dan Barat untuk berniaga. Penemuan pelbagai artifak membuktikan kawasan ini merupakan tumpuan utama sekali gus membawa kepada penyebaran agama Islam dan Hindu di Sarawak.

1. Andaikan anda pernah mengunjungi Sarawak, kirimkan cerita anda kepada rakan anda yang jauh dengan menceritakan pengalaman dan keunikan Sarawak berdasarkan petikan di atas. Panjang surat anda tidaklak melebihi 180 patah perkataan. 




2. Berdasarkan petikan di atas, senaraikan lima kata nama, lima kata kerja dan lima kata adjektif. Berpandukan perkataan yang disenaraikan, bina ayat dalam ruangan yang disediakan.

Tuesday, 13 December 2011

WARKAH KEPADA GENERASI

Komsas Tingkatan 2: Warkah Kepada Generasi

Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.

Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian diami.

Penutup warkah ini
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.


Maksud Sajak
Rangkap 1
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup
pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang
merdeka.

Rangkap 2
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang didiami oleh mereka
sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan
kemerdekaan negara.

Rangkap 3
Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.

Tema
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda/generasi
sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.

Persoalan
1. Persoalan generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang
merdeka.
2. Persoalan kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek
moyang kita.
3. Persoalan kepentingan sejarah kemerdekaan negara.

Gaya Bahasa
1. Metafora
tanah merdeka (Rangkap 1, baris 5)
istana merdeka (Rangkap 2, baris 5)
akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)

2. Sinkope
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)

3. Asonansi
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah. (Rangkap 1, baris 4
pengulangan vokal ’a’

4. Aliterasi
tercabut dari bumi bertuah ini. (Rangkap 3, baris 3)
pengulangan konosonan ‘t’.

Nada
Sajak ini bernada patriotik.

Bentuk
1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2. Rima akhir bebas.
3. Jumlah baris serangkap bebas
Contohnya : Rangkap 1-5 baris, Rangkap 2 – 5 baris dan Rangkap 3 – 3 baris).
4. Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
5. Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.


Nilai
1. Nilai kesyukuran
Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.

2. Nilai pengorbanan
Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada
penjajah.

3. Nilai cinta akan negara
Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama
dapat berusaha untuk memajukan negara.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk
mempertahankannya.

2. Kita perlulah sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.

3. Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita
tidak lagi dijajah pada kemudian hari.

4. Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana
kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.


Latihan
1. Kemukakan maksud rangkap pertama sajak ’Warkah Kepada Generasi’.

2. Pada pendapat anda, mengapa generasi sekarang perlu mengenang jasa para
pejuang kemerdekaan negara?

Jawapan:
1. Maksud rangkap pertama sajak ini ialah Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang. Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.

2. Pada pendapat saya, generasi sekarang perlu mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara:
 a. Supaya mereka menghargai kemerdekaan yang dimiliki sekarang
b. Mereka telah banyak berkorban untuk mempertahankan negara sehingga mencapai kemerdekaan.
c. Supaya generasi sekarang dapat mengerti nilai perjuangan
d. Dapat menanam semangat patriotik dalam diri generasi sekarang.